KUALA LUMPUR : Barisan blok pembangkang tidak akan menzahirkan sokongan terhadap Rang Undang-Undang (RUU) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pindaan) 2021.

Menurut Ketuanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, keputusan itu dibuat setelah mengambil kira pandangan ahli-ahli Parlimen serta suara rakyat yang bimbang berhubung jumlah kompaun yang keterlaluan.

“Setelah memperinci keseluruhan RUU ini, mendengar pandangan ahli-ahli Parlimen dan respon rakyat yang sangat gusar dengan jumlah denda dan kompaun yang keterlaluan.

"Perkara itu mungkin membuka ruang berlakunya salah guna kuasa, rasuah, serta amalan ‘antara dua darjat’, saya dan saf Pembangkang tidak boleh menyokong RUU ini dalam bentuk yang telah dibentang,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Port Dickson itu turut menyatakan telah memaklumkan keputusan itu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Terdahulu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada Selasa telah mencadangkan lima peruntukan baharu terhadap RUU berkenaan.

BACA: RUU Pindaan Akta 342: Naikkan kadar kompaun, ada syarikat lakukan kesalahan berulang - Dr Noor Hisham

BACA: Pindaan Akta 342: Syarikat langgar SOP boleh dikompaun hingga RM1 juta - Khairy

BACA: RUU Pindaan Akta 342: Perlu diluluskan segera demi pengawalan COVID-19 - Dr Noor Hisham

Ini merangkumi 10 seksyen di bawah Akta 342 yang akan ditambah baik bagi memastikan kesinambungan pengawalan dan pencegahan COVID-19 di negara ini.